Mengapa tidak ada berita di Telivisi Nasional ?
Mengapa hanya tajul muluk, Ahmadiyah dan Insryaj manndji saja yang di besar2kan ?
? ☚
Jumlah penduduk Burma melebihi 50 juta dan 20% daripadanya adalah kaum
Muslimin yang terfokus di sekitar ibu negaranya Yangon, bandar Mandalay
dan di wilayah Arakan. 70% penduduk Burma beragama Buddha dan selebihnya
merupakan penganut Hindu, Kristian dan lain-lain agama. Bagaimanapun,
Burma hanya mengiktiraf lebih kurang 4% penduduk Muslim sahaja dan
selebihnya dianggap sebagai pendatang asing. Oleh itu, Burma berusaha
untuk mengusir orang-orang Islam ini, tidak memberikan mereka status
warganegara dan tidak mengiktiraf apa jua hak ke atas mereka. Kerana
itu, kaum kaum Muslimin di Burma sentiasa terdedah kepada serangan dari
puak Buddha yang disokong oleh jentera kerajaan hingga ke tahap
pembunuhan dan pengusiran.
Ahli sejarah menyebut bahawa Islam
memasuki Burma pada tahun 788M yakni pada zaman Khalifah Harun
al-Rashid, zaman di mana Daulah Khilafah merupakan kuasa dunia yang
hebat. Islam mula tersebar di Burma tatkala rakyat Burma menyaksikan
sendiri keagungannya, kebenaran serta keadilannya. Kaum kaum Muslimin
memerintah Arakan lebih dari 3 abad, di antara 1430 - 1748M. Di waktu
ini, puak kuffar bersatu menghancurkan wilayah Arakan sehingga kaum
Buddha akhirnya berjaya mendudukinya dan mencetuskan kekacauan di
wilayah ini, membunuh kaum kaum Muslimin dan menumpahkan darah mereka
khususnya para ulama dan pendakwah Islam. Di samping itu, puak kuffar
juga merompak hasil kekayaan Arakan, memusnahkan binaan Islam seperti
masjid-masjid dan sekolah-sekolah, yang kesemuanya dilakukan kerana
kebencian dan kefanatikan yang lahir dari puak Buddha yang jahil.
Di Burma juga wujud pembahagian dan persaingan imperialis di antara
Britain dan Perancis. British menjajah dan menduduki Burma pada tahun
1824 manakala Perancis menjajah dan menduduki Laos. Pada tahun 1937,
British memisahkan tanah jajahannya, Burma dari “kerajaan British-India”
yang menjadikan Burma berada di bawah pentadbiran “kerajaan
British-Burma”. Wilayah Arakan kemudiannya diletakkan oleh British di
bawah kekuasaan puak Buddha. Pada tahun 1940 di masa Perang Dunia II,
satu gerakan yang dikenali sebagai “Thirty Militia Comrade – the Burma
Independence Army” telah ditubuhkan di tanah jajahan ini. Gerakan ini
ditubuhkan oleh sekumpulan 30 orang warga Burma yang menerima latihan di
Jepun yang telah berikrar untuk mengusir penjajah British dari Burma.
Mereka memasuki Burma bersama pihak Jepun pada tahun 1941. Pada waktu
itu, Burma merupakan salah satu jalur konfrontasi di antara British dan
Jepun sehinggalah Jepun dikalahkan pada akhir Perang Dunia II pada tahun
1945. Akhirnya, British sekali lagi berjaya meluaskan penjajahannya di
Burma.
Pada tahun 1942, kaum Muslimin terdedah kepada
pembunuhan beramai-ramai oleh puak Buddha di mana darah lebih kurang
seribu orang Muslim telah ditumpahkan dan menyebabkan pengusiran ratusan
ribu yang lain. Pada tahun 1948, British telah memberikan kemerdekaan
secara rasmi kepada Burma dan setahun kemudian, British menganjurkan
sebuah konferens dengan menjemput kesemua kumpulan etnik di Burma,
kecuali kaum Muslimin, ke konferens tersebut. Semasa konferens, British
menetapkan klausa yang memperuntukkan bahawa hak akan diberikan kepada
setiap kumpulan dan etnik dalam masa 10 tahun selepas kemerdekaan.
Bagaimanapun, kerajaan Burma tidak pernah melaksanakannya malah
meneruskan penindasan mereka ke atas kaum Muslimin.
Pada tahun
1962, satu rampasan kuasa tentera telah berlaku di Burma di bawah
kepimpinan Jeneral Ne Win. Dia kemudian telah menubuhkan sebuah majlis
tentera di bawah nama The State Council for Restoring Law and Order,
lalu Ne Win memerintah Burma secara langsung sehingga tahun 1988,
manakala The State Council kekal sehingga 1997 di bawah kawalannya. Pada
tahun 1990, satu pilihan raya telah diadakan dan parti pembangkang,
National Democratic Party telah menang majoriti. Bagaimanapun, pihak
tentera tidak mengiktiraf peralihan kuasa sehinggalah satu perlembagaan
baru dirangka dan mesyuarat terus-menerus diadakan sejak tahun 1993
untuk mendraf perlembagaan. Di sepanjang masa rampasan kuasa ini, kaum
Muslimin sentiasa berada dalam keadaan ditindas oleh puak fanatik Buddha
di bawah pemerintahan tentera, yang telah memaksa lebih dari 3000 kaum
Muslimin berhijrah ke Bangladesh. Lebih dari 500,000 pula telah diusir
keluar dari Burma pada tahun 1978 dan mengikut statistik agensi pembantu
pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), lebih dari 40,000
termasuk orang-orang tua, wanita dan kanak-kanak mati kerana keadaan
sukar yang mereka alami sepanjang pelarian.
Pada tahun 1988,
lebih dari 150 ribu kaum Muslimin berhijrah ke luar negeri dan lebih
setengah juta pula menjadi mangsa pengusiran oleh kerajaan Burma
rentetan dari sokongan yang mereka tunjukkan kepada parti pembangkang
yang memenangi majoriti kerusi Majlis pada tahun 1990. Kerajaan Burma
memandang orang Islam sebagai orang asing dan bukan sebagai penduduk
Burma, menafikan hak pendidikan mereka dan tidak membenarkan mereka
berkahwin sebelum mencapai umur 30. Rejim juga pernah mengenakan sekatan
perkahwinan ke atas orang Islam selama 3 tahun, dalam usaha untuk
mengurangkan jumlah anak-anak kaum Muslimin, satu penindasan yang paling
buruk dilakukan oleh rejim ke atas umat Islam. Pada tahun 1989 kerajaan
Burma telah menukar nama dari Burma kepada “Myanmar”.
Pihak
tentera terus memerintah Burma kadangkala dengan sokongan Britain secara
langsung dan kadang kala melalui ejen Britain, India. Sistem
pemerintahan di Myanmar/Burma juga dilihat semakin mendekati sistem
Komunis, demi mendapat sokongan Russia dan China, yang sekali gus dapat
menutup realiti politik di Myanmar. Amerika sebelum ini pernah memprotes
peranan India yang menyokong rejim tentera dan kerjasama erat antara
India dan tentera Myanmar. Agensi berita Perancis, semasa melaporkan
lawatan Perdana Menteri India, Manmohan Singh ke Burma pada 28/5/12
untuk menamatkan beberapa siri perjanjian, menyebut bahawa, “India telah
menjalin hubungan baik dengan Majlis Tentera pada tahun 90-an,
khususnya di era keselamatan dan tenaga.
Pada tahun 2010,
Washington mengutuk sikap diam India terhadap pencabulan hak asasi
manusia di Myanmar. SuuKyi sendiri, yang menamatkan sebahagian
pelajarannya di India, di mana ibunya pernah menjadi duta di sana, telah
melahirkan rasa kesalnya dengan sokongan India terhadap pemerintahan
tentera di negaranya”. Pada November 2007, agensi berita memetik rayuan
Washington kepada India dan China agar menghentikan pembekalan senjata
kepada tentera Myanmar. Rejim tentera di Burma memberikan kemudahan
ketenteraan kepada China di pelabuhannya di Teluk Bengal dan di Lautan
India, dengan tujuan untuk mendapat sokongan China sekiranya berlaku
serangan Amerika ke atasnya. China dalam masa yang sama berkepentingan
untuk mewujudkan pelabuhannya di Lautan India. Selepas Britain keluar
secara rasmi dari Myanmar, India menjadi penjaga Burma yang meletakkan
Burma di bawah kawalan dan sokongan India.
Amerika
membangkitkan pendapat umum terhadap pemerintahan tentera dan
memfokuskan pendapat umum ke atas pemimpin pembangkang, Aung San SuuKyi,
sehinggalah SuuKyi dibebaskan pada November 2010. Amerika terus
meningkatkan tekanan ke atas Majlis Tentera dengan tujuan agar Majlis
membubarkan dirinya dan menyerahkan kekuasaan kepada rakyat. Namun,
Britain dan India menanggapi hal ini dengan penuh kebijaksanaan dan
kehati-hatian. Mereka ‘mencucuk’ Majlis agar mengadakan satu pilihan
raya umum di mana mereka (Britain dan India) kemudian menjalankan apa
yang sememangnya menjadi ‘kepakaran’ mereka. Akhirnya pilihan raya umum
telah diadakan pada 2010 di mana Solidarity and Development Party, yang
merupakan parti tentera, telah menang sebanyak 80% kerusi. Majlis
Tentera kemudian telah membubarkan dirinya dan menyerahkan kekuasaan
kepada ‘rakyat’. ‘Rakyat’ di sini terdiri daripada para jeneral bersara
yang diketuai oleh Jeneral bersara TheinSein, yang mengambil alih
kekuasaan pada Mac 2011.
Amerika meneruskan tekanannya ke atas
rejim di Burma dalam usaha untuk mengenepikan para jeneral bersara
tersebut dan menaikkan Aung San SuuKyi, dengan menunjukkan sokongan
penuh terhadap SuuKyi dan parti pimpinannya. Amerika telah menjalankan
dan menghebahkan analisis mendatang (future analysis) dengan mengatakan
kemungkinan pemimpin pembangkang memenangi pilihan raya 2015. Setiausaha
Negara Amerika, Hillary Clinton telah melawat Burma pada 1 Disember
2011 dan mengisytiharkan bahawa negaranya akan melantik seorang duta
untuk kali pertama dalam masa 20 tahun dan akan melonggarkan sekatan
selaras dengan reformasi demokrasi yang sedang berlaku di Burma.
Pada 1 April 2011 pilihan raya telah diadakan untuk merebut 45 kerusi
dan parti pimpinan SuuKyi telah memenangi 43 kerusi. Walau bagaimanapun,
Hillary menjelaskan hal ini dengan mengatakan, “masih awal untuk
menilai sejauh manakah perkembangan di Burma kebelakangan ini dan sama
ada ia akan berterusan” (sebagaimana dipetik oleh agensi berita
Perancis). Dengan cara ini, Amerika sebenarnya mahu mengenakan tekanan
ke atas rejim Myanmar, dengan mencuba untuk meragu-ragukan perkembangan
proses demokrasi, kerana tenteralah (dalam bentuk ‘rakyat’) yang
sebenarnya masih memerintah dan mengawal suasana politik di Myanmar. Di
bawah perlembagaan yang digubal oleh tentera pada tahun 90-an, suku
daripada jumlah kerusi di Parlimen boleh dilantik oleh tentera tanpa
pilihan raya.
Oleh yang demikian, Amerika tidak berpuas hati
dengan keadaan politik di Burma walaupun ia setakat ini telah berjaya
membebaskan SuuKyi yang mana partinya sekarang sedang menjalankan
aktiviti politik di Burma. Amerika masih terus mengenakan tekanan kepada
rejim dan secara jelas mempersoalkan kredibiliti rejim dalam rangka
memberikan lebih banyak tekanan. Ini semua dilakukan dalam usaha Amerika
untuk membuang rejim tentera, yang setia kepada British, dari
kekuasaan. Dalam masa yang sama, Britain berada dalam kedudukan
menyokong perkembangan terbaru ini, sebagaimana komen Menteri Luarnya,
William Hague mengenai apa yang berlaku di Myanmar, katanya, “UK, yang
merupakan pembekal terbesar bantuan dua hala kepada rakyat Myanmar,
sentiasa bersedia menyokong proses politik di Myanmar” (Associated Press
3/4/12).
Perdana Menteri Britain, David Cameron, yang melawat
Burma selepas pilihan raya dianggap sebagai pemimpin tertinggi Barat
yang pertama melawat negara itu selepas rampasan kuasa pada 1962. Dia
memuji rejim dengan mengatakan, “Sekarang wujud kerajaan yang menekankan
ketegasannya bahawa ia akan menjalankan reformasi dan telah pun
mengambil beberapa langkah dalam hal ini dan saya rasa ini adalah masa
yang baik untuk datang ke sini dan menggalakkan langkah ini” (Associated
Press Perancis). Cameron berjumpa dengan presiden Myanmar, TheinSein,
yang berkata, “kami amat gembira dengan sokongan anda di atas usaha yang
sedang kami lakukan dalam mempromosikan demokrasi dan hak asasi manusia
di Myanmar.” Justeru, Britain berpuas hati dengan situasi politik di
Myanmar, yang disokong olehnya.
Pada 3/6/2012, sekumpulan
penganut Buddha menyerang sebuah bas yang membawa orang-orang Islam dan
membunuh 9 daripada mereka. Dengan meletusnya tragedi ini, hal-hal lain
seperti pembunuhan dan pembakaran rumah serta pengusiran terus terjadi
di antara penganut Buddha dan orang Islam, sehingga meliputi beberapa
kawasan penempatan kaum Muslimin, mengakibatkan puluhan ribu umat Islam
mula lari daripada tempat kediaman masing-masing. Kerajaan Bangladesh
pula tidak mahu menolong pelarian Muslim yang lari memasuki negaranya,
malah menghantar semula mereka pulang dan menutup semua pintu sempadan
untuk mereka.
Dalam musim yang sama tahun lepas, kaum Muslimin
juga terdedah kepada serangan yang sama dan dipaksa meninggalkan
Myanmar. Sejak berdekad lamanya, saban tahun kaum Muslimin menghadapi
tragedi pembunuhan, penganiayaan, pengusiran dan juga perobohan
rumah-rumah mereka di tangan penjahat Buddha dengan sokongan dari rejim
Myanmar. Barat yang diketuai oleh Amerika memuji rejim kerana
membebaskan pemimpin pembangkang SuuKyi dan memuji proses pendemokrasian
Myanmar, namun tidak memerhatikan sedikit pun penderitaan yang berlaku
ke atas kaum Muslimin.
Kedutaan Amerika di Burma mengeluarkan
satu kenyataan yang menyebut bahawa pegawai kedutaannya, Michael
Thurston, telah menemui organisasi Islam tempatan di Yangon dan juga
Parti Pembangunan Nasional secara berasingan di Arakan. Thurston
berkata, “Perkara yang paling penting sekarang ialah kesemua pihak
hendaklah bertenang dan terdapat keperluan untuk memperbanyakkan dialog
yang hanya boleh diadakan apabila keadaan tenang.” Dia selanjutnya
berkata, “Kedutaan (Amerika) menggalakkan kerajaan Burma untuk menyiasat
insiden dengan cara menghormati proses dan kedaulatan undang-undang”
(Associated Press Amerika 14/6/2012), yang membawa maksud bahawa Amerika
menasihatkan orang-orang (Islam) yang terancam dengan pembunuhan dan
pengusiran agar bertenang dan hendaklah mengikuti dialog dan menghormati
prosedur perundangan!!! Ini adalah kerana pihak yang dibunuh dan diusir
adalah kaum Muslimin!!! Namun, semasa sami-sami Buddha turun
berdemonstrasi pada 20/9/2007 dan ditekan oleh rejim tentera, Amerika
berdiri dan menyuarakan keprihatinan, malah terus mengenakan sekatan
keras ke atas Burma yang diikuti oleh lain-lain negara Barat! Ini
menjadi bukti betapa Amerika sebenarnya tidak peduli dengan penderitaan
kaum Muslimin Burma, malah tidak mahu ambil tahu pun. Ia hanya peduli
tentang kepentingannya dan peluasan pengaruhnya sahaja. Secara umumnya,
inilah pendirian jahat seluruh dunia Barat terhadap Islam dan kaum
Muslimin.
Ringkasnya, rejim di Burma yang sebelum ini berada di
bawah kekuasaan para jeneral yang berbaju tentera dan kini berada di
bawah kekuasaan para jeneral yang ‘berbaju rakyat’, adalah terdiri
daripada mereka yang setia kepada British, yang telah memberi sokongan
kepada rejim ini secara sembunyi mahupun terang-terangan dan secara
langsung mahupun tak langsung. British juga memberi sokongan kepada puak
Buddha dalam membunuh dan menganiaya kaum Muslimin, bukan sahaja
kebelakangan ini, malah sejak berakhirnya pemerintahan Islam di Myanmar.
Di dalam metode politiknya yang penuh kelicikan, British telah membawa
rejim tentera di Burma menghampiri puak Komunis daripada Russia dan
China, demi mendapatkan sokongan sekiranya Amerika melancarkan serangan
ke atas rejim.
Di pihak Amerika, ia menyokong National
Democratic Party pimpinan Aung San SuuKyi dan membuatkan SuuKyi
memenangi hadiah Nobel pada tahun 1991. Bapanya, Aung Sang merupakan
seorang yang menentang British dan telah dibunuh pada tahun 1947, di
mana pemimpin pembangkang telah dituduh melakukannya. Bapanya dianggap
sebagai wira kemerdekaan. Di sebalik pergelutan politik di antara
Amerika dan Britain di Myanmar, kedua mereka bersetuju menyokong puak
Buddha dalam membunuh kaum Muslimin. Langsung tidak terdetik di hati
mereka sikap dan perasaan kemanusiaan, kecuali dalam beberapa kenyataan
umum yang tidak bermakna. Namun, mereka (Amerika dan Britain) melenting
sekiranya sami-sami Buddha menghadapi kezaliman atau diancam akan
dihumbankan ke penjara!
Bagi China pula, ia menyokong rejim
untuk mendapatkan kepentingan ekonomi dan strategi di Burma tanpa
menginginkan pengaruh politik di dalam negara tersebut.
Bagi
para pemerintah kaum Muslimin pula, mereka hanyalah tunduk dan patuh
kepada Amerika dan Barat secara mutlak. Mereka langsung tidak bertindak.
Bangladesh yang merupakan jiran terdekat Burma sendiri pun langsung
tidak menghulurkan bantuan terhadap saudara-saudara seIslam mereka di
Burma yang telah terancam dengan penyeksaan dan pembersihan etnik sejak
lebih seratus tahun lepas, sebaliknya menganiaya mereka dan menghalau
mereka keluar serta menutup pintu sempadan untuk mereka. Pemerintah
Muslim ini, bukan sahaja tidak menyahut seruan Allah,
“..dan
sekiranya mereka meminta pertolongan kalian dalam agama, adalah
tanggungjawab kalian untuk menolong mereka” [TMQ al-Anfal (8):72],
sebaliknya menyahut seruan Amerika dan negara Barat lainnya dan
menghantar tentera ke tempat-tempat zon konflik, dengan memakai lencana
tentera PBB di bahu-bahu dan dahi-dahi mereka!
Sesungguhnya
sudah tidak ada satu kebaikan pun yang dapat diharapkan dari para
pemerintah kaum Muslimin ini, malah mereka semakin terus tunduk kepada
syaithan. Keselamatan tidak akan dapat dikecapi oleh kaum Muslimin di
Burma sehinggalah kembalinya Daulah Khilafah sebagai tempat mereka
berlindung sebagaimana mereka berlindung sejak pemerintahan Khalifah
Harun al-Rashid selama lebih tiga abad. Hanya Khilafah sahajalah yang
akan memberikan keselamatan dan perlindungan kepada mereka dan
seterusnya menyebarkan kebaikan dan rahmat ke seluruh alam dan Khilafah
ini Insya Allah sudah semakin hampir.